home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
1989
1989
1988
1987
1986
1985
1984
1983
1982
1981
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	NEGERI SABAH 
Tarikh/Date 	: 	17/11/81 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PEMBUKAAN RASMI LEBUHRAYA 
			PAPAR KE SINDUMIN 




Yang Amat Berhormat Datuk Harris Mohd. Salleh, Ketua Menteri Negeri Sabah; 

Yang Berhormat Datuk S. Samy Vellu, Menteri Kerjaraya dan Kemudahan Awam; 

Yang Berhormat Tan Sri Suffian Korok, Menteri Pembangunan Infrustruktur
Sabah; 

Yang Berhormat-Yang Berhormat; 

Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudara sekelian kerana telah
memberikan sambutan yang sangat meriah kepada saya pada hari
ini. Sebahagian besar daripada saudara-saudara sekelian telah datang
beramai-ramai dari tempat-tempat yang jauh dan dari kawasan-kawasan
pendalaman untuk bersama-sama menghadiri Majlis ini. Di atas susah payah
saudara-saudara semua saya sekali lagi mengucapkan terima kasih.

2. Saya merasa sukacita mengetahui bahawa projek lebuhraya Papar ke
Sindumin ini yang sepanjang 68 batu dan berharga $50 juta telah siap
semenjak akhir tahun 1980 iaitu setelah tiga tahun dalam pembinaan. Ini
adalah salah satu daripada projek-projek yang telah disiapkan mengikut
jadual sungguhpun jadual itu telah dipanjangkan sedikit oleh sebab-sebab
cuaca dan keadaan tanah. Di sini sukalah saya mengucapkan tahniah kepada
semua pihak di atas segala usaha untuk menyiapkan lebuhraya ini.

3. Pembinaan lebuhraya Papar ke Sindumin ini adalah sebahagian daripada
keseluruhan strateji untuk mempastikan bahawa Negeri Sabah mempunyai satu
rangkaian jalanraya yang menghubungi satu bandar ke satu bandar dan dari
bandar-bandar di sebelah barat dengan bandar-bandar di sebelah timur
negeri Sabah ini. Lebuhraya-lebuhraya yang dibina menjadi nadi dalam
pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Sabah, terutamanya memandangkan pada
masa ini Negeri Sabah sedang meningkatkan lagi usaha-usaha pembangunanya.

Ia akan mendekatkan lagi hubungan di antara semua rakyat di Negeri
Sabah. Dalam konteks pembangunan, sistem perhubungan yang lengkap adalah
asas bagi membolehkan rakyat menerokai aktiviti-aktiviti ekonomi yang
dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka.

4. Dua lagi lebuhraya yang sedang di dalam pembinaan ialah lebuhraya
Tamparuli ke Ranau dan lebuhraya Sempurna ke Lahad Datu. Lebuhraya
Tamparuli ke Ranau yang panjangnya 44 batu dianggar memakan perbelanjaan
sebanyak $95 juta. Ia dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan. Pada
masa ini jalan ini boleh digunakan untuk lalu lintas sekiranya
kenderaan-kenderaan itu tidak dipandu laju. Lebuhraya Sempurna ke Lahad
Datu sepanjang 91 batu sedang di dalam pembinaan dan dianggar berharga
sebanyak $76 juta. Ianya dibina pada sebahagian besarnya mengikut aliran
(alignment) jalan yang telah ada dan adalah dijangka siap dalam masa dua
tahun lagi.

5. Pembinaan lebuhraya dari Papar ke Sindumin ini bukan sahaja bertujuan
untuk memudahkan perhubungan rakyat Negeri Sabah, dari Kota Kinabalu ke
Papar dan ke Sindumin sahaja bahkan juga terus ke Negeri Sarawak di mana
satu lagi lebuhraya dari Lawas ke Merapok sedang di dalam pembinaan.

Dengan siapnya lebuhraya Lawas-Merapok sepanjang 18 batu itu pada akhir
tahun ini, perjalanan dari Kota Kinabalu ke bandar-bandar dalam Negeri
Sarawak akan dapat menjadi lebih cepat dan mudah.

6. Dengan cara ini akan tercapailah tujuan Kerajaan bagi memperkukuhkan
lagi perhubungan di antara rakyat Malaysia di kedua-dua negeri ini. Ini
juga akan memudahkan pergerakan penduduk-penduduk, tenaga pekerja,
alat-alat jentera yang penting untuk kemajuan dan pembangunan pertanian
dan industri dalam kedua-dua negeri ini.

7. Di bawah Rancangan Malaysia Keempat, Kerajaan Persekutuan telah membuat
peruntukan sebanyak $5,918 juta bagi kemudahan-kemudahan infrustruktur
asas seperti jalanraya, bekalan air, dan elektrik bagi seluruh negara
kita. Daripada jumlah ini, Negeri Sabah telah diperuntukkan $691.2
juta. Peruntukan untuk Negeri Sabah akan ditambah sekiranya perlu dan ada
kemampuan untuk melaksanakan projek-projek tambahan.

8. Pembinaan lebuhraya memanglah sukar dan memakan belanja yang
banyak. Tetapi apabila satu-satu lebuhraya itu siap maka adalah menjadi
perkara yang sangat penting supaya ianya diselenggarakan dengan sempurna
untuk mengelakkan ianya terbiar dan menjadi rosak yang akan menyebabkan
perbelanjaan yang banyak untuk diperbaiki. Aspek penyelenggaraan jalanraya
ini, saya ingin tegaskan, hendaklah diambilkira dan hendaklah diberikan
perhatian yang sama seperti pembinaan jalanraya itu sendiri.

9. Dalam usaha-usaha perancangan dan pembinaan infrastruktur pihak
perancang bukan sahaja mesti mengambilkira aspek-aspek ekonomi projek itu,
tetapi juga mestilah memikirkan bahawa orang ramai yang mana projek itu
ditujukan adalah sedia untuk menerima dan merebut peluang-peluang dari
pembinaan projek pembangunan itu.

Dengan cara ini sesuatu projek itu akan dapat digunakan dengan
sebaik-baiknya terutama sekali oleh pihak yang menerimanya. Dalam hal ini
pihak-pihak perancang hendaklah mengusahakan program-program pembangunan
mereka secara bersepadu supaya sesuatu projek pembangunan ini dapat
memberi faedah maksima kepada rakyat.

10. Sebelum saya sudahi ucapan saya ini, sukalah saya memberikan tahniah
kepada Kementerian Kerjaraya dan Kemudahan-Kemudahan Awam Malaysia yang
bertanggungjawab bagi pembinaan jalanraya-jalanraya Persekutuan di Negeri
Sabah ini, kepada Kerajaan Negeri Sabah, dan kepada Jabatan Kerjaraya
Negeri Sabah yang menjadi badan pelaksana bagi projek-projek jalanraya
ini.

11. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemandu yang
mengandungi semua badan-badan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
yang berkenaan yang telah menjalankan tugas-tugas mereka dengan baik dan
sempurna.

12. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, saya dengan
sukacitanya mengistiharkan lebuhraya ini dibuka dengan rasminya.

Terima kasih.

 


 


 











 
Google