|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 1989 1989 1988 1987 1986 1985 1984 1983 1982 1981 |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN TAKLIMAT PUSAT KOMPUTER, JABATAN PERDANA MENTERI, K.L Tarikh/Date : 05/11/81 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT KE-19 JAWATANKUASA PERHUBUNGAN ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN KERAJAAN-KERAJAAN NEGERI Tan Sri-Tan Sri; Datuk-Datuk; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Mesyuarat Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan Dengan Kerajaan-kerajaan Negeri yang telah menjemput dan memberi penghormatan kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Ke-19 Jawatankuasa Perhubungan pada pagi ini. Kesempatan ini adalah satu-satu yang jarang saya temui walaupun diketahui betapa penting pegawai-pegawai Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mengetahui secara langsung dasar-dasar Kerajaan dan program-programnya. 2. Seperti yang telah diucapkan oleh Y.B. Ketua Setiausaha Negara sebentar tadi bahawa dari segi dasar tidak banyak perbezaan antara Kerajaan di bawah pimpinan Perdana-perdana Menteri yang terdahulu dengan Kerajaan di bawah pimpinan sekarang. Sungguhpun begitu adalah menjadi hasrat Kerajaan sekarang ingin mewujudkan satu jentera pentadbiran Kerajaan yang lebih cekap, bersih, tinggi prestasi dan 'productivity'nya bagi melaksanakan segala tanggungjawab dan rancangan-rancangan yang telah diatur sebelum ini, di samping ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai dengan penduduknya mempunyai budi bahasa yang tinggi, bertatatertib serta dihormati oleh negara-negara lain di dunia. Saya telah meminta rakyat memberi tempoh selama setahun bagi Kerajaan di bawah pimpinan baru untuk mewujudkan imej baru Kerajaan yang cekap, bersih dan penuh tanggungjawab. Segala tindakan-tindakan yang dijalankan sekarang adalah bertujuan untuk mencapai matlamat yang telah dijanjikan kepada rakyat. 3. Sebagai yang tuan-tuan sedia maklum, semenjak Negara Malaysia mencapai kemerdekaan jentera pentadbiran Kerajaan telah menjadi begitu besar dan ini memerlukan pengawalan yang lebih oleh pusat-pusat pentadbiran terhadap jabatan-jabatan di bawahnya. Ini ditambah pula dengan keadaan di mana pada masa ini jentera pentadbiran Kerajaan telah menjadi begitu kompleks. Pentadbiran Kerajaan pada masa ini tidak saja terlibat di dalam soal-soal yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang dan mengawal keamanan tetapi telah melibatkan diri di dalam segala aspek kegiatan seperti aspek pelaburan, kebajikan masyarakat, pembinaan 'infrastructure', pelajaran, perundingan dengan negara-negara luar dan sebagainya. Di dalam keadaan di mana perjalanan jentera pentadbiran Kerajaan semakin kompleks, tindakan-tindakan segera hendaklah diambil supaya ianya tidak menjadi lemah yang akan memberi kesan yang tidak baik pula kepada prestasi Kerajaan. 4. Apa yang saya harap-harapkan ialah supaya tiap-tiap kakitangan Kerajaan bekerja dengan lebih kuat lagi tanpa mengira masa dan upahan wang ringgit. Jadikanlah kejayaan yang kita perolehi hasil dari daya usaha kita itu satu kepuasan hati yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Pegawai-pegawai Kerajaan perlulah memikirkan apakah sumbangan fikiran dan tenaga yang mereka boleh berikan kepada sistem pentadbiran yang ada sekarang. Saya telah mencadangkan satu 'slogan' atau cogankata iaitu "Apakah sumbangan anda kepada Agama dan Negara?" Cogankata ini adalah dalam bentuk soalan dengan harapan supaya kita sentiasa menyoal diri kita sendiri tentang tanggungjawab kita kepada agama dan negara. Pada hemat saya cogankata ini adalah merupakan sebagai 'moral obligation' yang perlu kita hayati setiap masa. Saya percaya jika semua pegawai Kerajaan bertanyakan kepada diri mereka mengenai sumbangan mereka terhadap agama dan negara di dalam setiap tindakan dan tindak-tanduknya, maka sudah tentulah akan wujud satu jentera pentadbiran Kerajaan yang lebih cekap lagi bersih, tanpa rasuah dan kecurangan. Ini timbul kerana di dalam semua ajaran agama, tidak ada agama yang menyuruh manusia berbuat kejahatan, menipu dan melakukan perbuatan-perbuatan mungkar. Malahan setiap agama menyuruh manusia berbuat kebaikan dan kebajikan. Di dalam ajaran agama juga, berbakti kepada negara adalah merupakan satu amalan yang dimuliakan. Saya berharap cogankata ini akan diterima oleh setiap kakitangan Kerajaan dan adalah menjadi harapan saya juga supaya cogankata ini akan dapat diperluaskan kepada rakyat keseluruhannya dan akhirnya akan menjadi satu daripada ciri-ciri kehidupan masyarakat Malaysia keseluruhannya. 5. Pada pandangan saya segala apa yang kita rancangkan ini akan berjaya sekiranya kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, termasuklah juga pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan yang menjadi contoh dan tauladan kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat di peringkat bawah. Pemimpin-pemimpin di peringkat atasan dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan mestilah sentiasa bertanggungjawab, berusaha meninggikan mutu kecekapan, meninggikan mutu kerja dan daya pengeluaran; pemimpin-pemimpin ini haruslah pula berkeupayaan untuk memberi bimbingan dan tunjukajar kepada pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai di peringkat bawahan di dalam semua keadaan dan situasi. 6. Untuk mewujudkan imej baru Kerajaan yang mempunyai disiplin yang tinggi dan menghayati nilai-nilai hidup yang mulia, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah tertentu seperti pelaksanaan sistem 'punch clock' bagi pegawai-pegawai di peringkat Persekutuan. Langkah ini adalah sebagai satu peraturan untuk mendisiplinkan diri sendiri supaya berada di pejabat tepat pada waktunya. Semasa saya mengarahkan supaya sistem 'punch clock' ini dilaksanakan, saya telah menerima banyak rungutan daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan penggunaan sistem 'punch clock' ini. Ada pihak-pihak yang menyatakan bahawa kehadiran tepat pada waktunya tidak semestinya pula akan dapat meninggikan penghasilan kerja dan daya pengeluaran dan kepada pemimpin-pemimpin politik pula berkemungkinan mereka boleh melaksanakan kerja-kerja mereka di rumah dan tidak semestinya di pejabat semata-mata. Sungguhpun demikian bagi saya pelaksanaan sistem 'punch clock' ini adalah bertujuan untu mendisiplinkan diri kita sendiri. Tabiat tidak mengambil berat sesuatu yang telah ditetapkan akan menjadi kita orang yang tidak boleh diharap dan dipercayai. Kita tidak akan mempunyai 'credibility' dan orang yang tidak mempunyai 'credibility' tidak akan berjaya, sebab itu langkah-langkah mengadakan peraturan 'punch clock' ini akan diteruskan dan adalah diharapkan supaya Kerajaan-kerajaan Negeri juga akan membuat pertimbangan dan melaksanakan peraturan 'punch clock' ini supaya dapatlah sistem ini dilaksanakan di seluruh negara di dalam tempoh masa tidak berapa lama lagi. 7. Di dalam usaha Kerajaan untuk mewujudkan sebuah Kerajaan yang bersih, saya telah mengarahkan supaya semua pegawai awam sentiasa membuat pengisytiharan tentang harta masing-masing dan tidak melibatkan diri dalam kegiatan syarikat dan perniagaan seperti termaktub di dalam Perintah Am. Langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk mengesan sekiranya ada penyelewengan di dalam tindakan-tindakan pihak-pihak yang berkenaan. Sekiranya ada asas yang boleh dipercayai di mana pemilikan harta-harta tersebut dibuat melalui cara yang tidak jujur maka Biro Siasatan Negara akan diarah untuk membuat siasatan dengan serta-merta. Saya percaya dengan langkah-langkah ini Kerajaan akan dapat mengawal tindakan-tindakan yang tidak jujur walaupun pada hemat saya rasuah tidak akan dapat dibasmikan secara 100%. Mungkin ada orang yang tidak akan dikesan tetapi ini bukanlah sesuatu yang harus kita harapkan. 8. Adalah menjadi hasrat Kerajaan sekarang untuk mewujudkan keadaan persekitaran yang bersih dan indah dipandang. Apa yang saya maksudkan ialah tentang perlunya kawasan-kawasan di sekeliling bangunan-bangunan Kerajaan, bangunan-bangunan pejabat, kawasan lapang di sekeliling pejabat, jalan-jalan raya, longkang-longkang, taman-taman bunga dan sebagainya sentiasa diberi perhatian yang 'serius' dan dikehendaki sentiasa dalam keadaan bersih, kemas, baik dan sempurna. Saya berharap kawasan-kawasan lapang akan ditanam dengan pokok-pokok bunga dan pokok-pokok rendang bagi mengindahkan kawasan lapang tersebut. Langkah-langkah untuk memperindahkan kawasan-kawasan persekitaran ini hendaklah dirancang dan diperluaskan untuk meliputi bandar-bandar dan kampung-kampung. Pada hemat saya orang ramai dapat digalakkan untuk menjaga kebersihan kampung dan keindahan kampung masing-masing dengan mengadakan pertandingan kebersihan antara kampung-kampung seperti yang pernah dijalankan oleh beberapa negeri sedikit masa dahulu. Dengan adanya dorongan kepada penduduk-penduduk kampung untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan ini saya rasa sudah tentulah akan timbul inisiatif bagi penduduk-penduduk yang berkenaan untuk mencantikkan dan membersihkan kampung masing-masing. Pertandingan ini patut dihidupkan semula dengan pendekatan yang lebih sistematik dan menyelurh. Mengenai perkara keindahan persekitaran ini saya juga ada mendengar rungutan-rungutan dari Kerajaan-kerajaan Negeri yang menyatakan Majlis Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mengambil tindakan-tindakan bagi mengindahkan kawasan-kawasan di Majlis-majlis Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan yang berkenaan. 9. Mengenai perkara ini sukalah saya menegaskan bahawa kebersihan dan keindahan yang saya maksudkan di atas tidak memerlukan projek besar-besaran yang melibatkan pembinaan projek-projek rekreasi seperti pembinaan kolam renang atau taman-taman bunga yang baru di Majlis-majlis Daerah dan Penguasa-penguasa Tempatan yang berkenaan. Saya sedar bahawa pembinaan projek-projek rekreasi yang sedemikian rupa memerlukan perbelanjaan yang banyak tetapi apa yang saya maksudkan di dalam konsep kebersihan dan keindahan ialah dengan menggunakan segala kemudahan dan tenaga manusia yang ada sekarang untuk melaksanakan segala tugas-tugas dan tanggungjawab yang berkaitan dengan soal kebersihan dan keindahan di tempat-tempat yang tertentu. Apa yang penting di sini ialah pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih teratur, terutama terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan supaya pelaksanaan tugas mereka dibuat dalam keadaan yang lebih sempurna dan lebih bertanggungjawab. Adalah selalu didapati pekerja-pekerja yang bertanggungjawab mengenai soal-soal kebersihan ini telah tidak menjalankan tugas-tugas mereka dengan sempurna. Misalnya sampah sarap tidak dipungut mengikut jadual-jadual tertentu dan tidak cermat pula semasa menjalankan tugas-tugas ini yang menyebabkan sampah sarap jatuh bersepah-sepah di jalan-jalan raya. Begitu juga rumput-rumput tidak dipotong sehingga menyebabkan kadangkala seperti belukar-belukar kecil di tengah bandar. Sementara kawasan-kawasan lapang yang ditanam dengan bunga-bunga telah tidak dijaga dengan sempurna, seperti membajanya dan menyiramnya pada masa-masa yang tertentu. Longkang juga selalunya tidak dibersihkan, jalan-jalan raya tidak terjaga, tandas-tandas awam tidak dibersihkan. Adalah didapati keadaan-keadaan ini dibiarkan berlarutan dengan tidak pula diberi perhatian yang 'serius' oleh pihak-pihak atau pegawai-pegawai yang berkenaan dan tidak ada pula yang cuba membetulkan keadaan ini dan perkara ini telah berpanjangan untuk sekian lama. 10. Oleh yang demikian saya berharap pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih teratur dan lebih rapi hendaklah diambil terhadap perkara ini dan pekerja-pekerja Majlis-majlis Daerah, Majlis-majlis Perbandaran dan Penguasa-penguasa Tempatan yang berkenaan adalah dikehendaki memberi sepenuh perhatian kepada tanggungjawab dan kerja-kerja mereka. Saya percaya dengan pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih teratur dan saksama, kebersihan dan keindahan seperti yang kita harap-harapkan akan dapat dicapai tanpa memerlukan peruntukan tambahan yang lebih. Undang-undang yang berkaitan dengan kebersihan hendaklah dikuatkuasakan sepenuhnya semoga dengan ini akan timbul kesedaran di kalangan orang ramai tentang keperluan kebersihan tempat-tempat tertentu dan tempat-tempat awam. Saya juga berharap supaya kempen-kempen kebersihan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap dan teratur lagi, terutama untuk kesedaran orang ramai bagi menjaga kebersihan dan memelihara keindahan alam sekeliling dan menimbulkan kesedaran untuk menjaga kemudahan-kemudahan awam yang disediakan oleh Kerajaan seperti telefon, balairaya dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Segala undang-undang yang berkaitan hendaklah dikuat-kuasakan sepenuhnya. 11. Dalam usaha membersih dan mengindahkan persekitaran kita, kerjasama firma-firma dan kilang hendaklah diperolehi. Mereka hendaklah dipertanggungjawabkan untuk membersih dan mengindahkan kawasan antara bangunan mereka dengan pinggir-pinggir jalan. Jika perlu, undang-undang bolehlah digubal untuk menjadikan kegiatan ini tanggungjawab mereka. 12. Satu perkara lain yang juga berkaitan dengan kebersihan dan keindahan kawasan ialah perkara yang berkaitan dengan rumah-rumah haram. Adalah menjadi harapan saya agar pihak-pihak berkuasa di Negeri-negeri dan Majlis-majlis Daerah mengambil tindakan yang segera menjaga kawasan-kawasan yang boleh menjadi sasaran pembinaan rumah-rmuah haram. Saya berharap perhatian yang lebih hendaklah diberi terutamanya terhadap kawasan-kawasan yang berhampiran dengan jalan-jalan raya yang menuju ke tempat-tempat tertentu yang menjadi kunjungan pelancong-pelancong. Penumpuan khusus bagi mengatasi masalah rumah haram ini hendaklah diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab dengan segera supaya pembinaan rumah-rumah haram itu tidak begitu menjadi-jadi seperti terdapat sekarang. 13. Di dalam beberapa bulan yang lepas kita telah mendapati bahawa Laporan Ketua Audit Negara telah diberi liputan akhbar secara besar-besaran. Saya dapati kadang-kadang laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar agak tidak tepat dan berat sebelah kerana tidak memberi perhatian terhadap kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan yang tertentu secara keseluruhannya dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di negara ini. Saya berharap akhbar-akhbar tidak sahaja menyiarkan mengenai soal-soal yang buruk di dalam pentadbiran Jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian, tetapi juga akan memberi liputan dan kredit mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh Kementerian-kementerian dan Jabatan tertentu. Mengenai soal-soal pengurusan kewangan dan perkara-perkara lain yang tidak memuaskan yang dilaksanakan oleh Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan yang tertentu, pada pendapat saya adalah lebih elok dibaiki di peringkat yang lebih awal dan tidak menunggu sehingga menjadi semakin 'serius' dan lebih menyulitkan lagi. Saya juga berpendapat bahawa rakyat patut mengetahui bagaimana wang mereka dibelanjakan oleh Kementerian dan Jabatan tertentu. 14. Sekali lagi saya nyatakan bahawa segala tindakan yang telah diambil di atas adalah bertujuan untuk mewujudkan imej Kerajaan yang cekap, bersih dan tinggi prestasi dan 'productivity'nya. Kerajaan berazam untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang berbangga dengan negaranya, yang senantiasa bersedia membuat sumbangan kepadanya dengan sepenuh jiwa raganya. Akhirnya matlamat kita ialah supaya Malaysia akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara yang maju. Saya ingin melihat rakyat Malaysia yang sentiasa berbangga sebagai warganegara Malaysia dan yang penuh dengan rasa hormat dan cinta pada negara Malaysia. 15. Sebagai mengakhiri ucapan saya ini, saya berharap Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan ini akan dapat dijadikan forum yang betul-betul berkesan di dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri di dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan untuk kemajuan negara secara keseluruhannya. Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan ini adalah satu saluran yang penting bagi menyelesaikan masalah di dalam sistem 'federal' yang diamalkan di negara ini. Adalah menjadi harapan saya mesyuarat ini akan digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah-masalah semasa yang timbul. Segala keputusan-keputusan yang dicapai hendaklah dilaksankan dengan segera. Bagi keputusan-keputusan yang berkehendakkan persetujuan pihak-pihak berkuasa Kerajaan Negeri maka adalah menjadi tanggungjawab Setiausaha- setiausaha Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk merujukkan perkara ini bagi diluluskan. 16. Dengan sedikit renungan terhadap perkara-perkara yang saya nyatakan di atas ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Mesyuarat Ke-19, Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan-kerajaan Negeri Dengan Kerajaan Persekutuan dengan harapan supaya mesyuarat ini akan memberi manfaat dan faedah kepada kita semua. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |