|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 1989 1989 1988 1987 1986 1985 1984 1983 1982 1981 |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : TAMBUN INN. Tarikh/Date : 29/10/81 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN SEMINAR PEMBANGUNAN NEGERI PERAK Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Perak, Dato' Seri Hj. Wan Mohamed bin Hj. Wan Teh; Yang Berhormat Dato' Seri Mohd. Khalil bin Hj. Hussein, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; Yang Berusaha Dr. Mohd. Shahari bin Ahmad Jabar, Pengarah INTAN; Ahli-ahli Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian. Assalamu' alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak selaku penganjur Seminar ini kerana penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melakukan perasmian Seminar Pembangunan Negeri Perak pada hari ini. 2. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada INTAN di atas usahanya mengadakan Seminar ini yang bertemakan "perhubungan di antara pegawai Pentadbir dan ahli politik dalam pembangunan" bagi kali ketiganya. Perhubungan erat berasaskan kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli politik dan pentadbir adalah amat penting. Tanpanya perancangan dan juga pelaksanaan pembangunan akan terjejas. Adalah menjadi harapan saya agar seminar seperti ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli politik dan pentadbir dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka di dalam usaha-usaha pembangunan. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 3. Sebagaimana kita maklum, tujuan pembangunan ialah untuk membawa suatu keadaan yang lebih baik kepada negara dan rakyatnya. Keadaan yang lebih baik yang dimaksudkan bergantung kepada faktor-faktor tertentu dan suasana-suasana tertentu disesebuah negara. Semenjak kita mencapai kemerdekaan, kita telah berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi membolehkan rakyat keseluruhanya menikmati faedah-faedah daripada pembangunan. Syukur kita kepada Allah Subhanahuwataala kerana dengan usaha semua pihak kita telah dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat kita, malah Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang berjaya. 4. Kita mempunyai falsafah pembangunan yang tersendiri. Walaupun kita menggunakan asas-asas teori dan juga pengalaman-pengalaman negara-negara lain bagi pembangunan negara kita, ini tidak bermakna bahawa negara kita meniru mana-mana model pembangunan dengan sewenang-wenangnya. Kita mempunyai rangka asas berdasarkan kehendak-kehendak Perlembagaan dan Rukunegara. Kita cuma menggunakan aspek-aspek teori dan pengalaman-pengalaman yang kita fikirkan sesuai dengan keadaan dan kehendak kita. 5. Bagi kita, pembangunan membawa erti perubahan ke arah kebaikan yang komprehensif yang meliputi aspek-aspek material dan spiritual. Demikian juga pembangunan meliputi aspek-aspek ekonomi, sosial, budaya, politik, moral dan lain-lain. Begitu juga, bagi kita pembangunan adalah untuk semua dan bukannya untuk sesuatu golongan tertentu sahaja, atau bagi kawasan dan tempat tertentu. Bagi kita, usaha-usaha yang dijalankan mestilah untuk mencapai tahap perpaduan dan keadilan yang sewajarnya di dalam masyarakat. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 6. Usaha-usaha untuk membangunkan negara membuka berbagai-bagai peluang kepada rakyat semua golongan dan peringkat untuk memperbaiki diri mereka. Yang penting ialah peluang-peluang ini hendaklah digunakan dengan jujur tanpa menimbulkan dorongan hasat dengki dan nafsu haloba yang tidak terbatas. Sekiranya kejujuran ini menjadi ciri yang terpenting di dalam usaha setiap rakyat untuk memperbaiki kedudukan dan taraf kehidupannya sudah pasti matlamat-matlamat pembangunan akan tercapai dengan berkesan sekali. Itulah sebabnya Kerajaan yang memerintah sekarang, tidak dapat, malah tidak akan, membiarkan mana-mana jua pihak menyelewengkan usaha-usaha ke arah pencapaian objektif-objektif yang ditentukan dan dasar-dasar yang telah dipersetujui. 7. Pembangunan yang berjaya adalah hasil daripada kerjasama semua pihak -- ahli-politik, pegawai Kerajaan, peniaga dan pengusaha; serta rakyat seluruhnya. Walaupun penentuan sesuatu dasar dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik yang memegang teraju pemerintahan, sesuatu dasar itu adalah dirumuskan untuk kepentingan rakyat dan negara. Pelaksanaan sesuatu dasar yang telah diterima seharusnyalah diberi sokongan positif oleh semua pihak. Dalam hal ini, adalah penting sekali bagi setiap pihak memahami dengan sejelas-jelasnya latar belakang, hasrat dan objektif, serta implikasi sesuatu dasar. Kurang pemahaman oleh mana-mana pihak bukan sahaja boleh menjejaskan pelaksanaan sesuatu dasar tetapi juga boleh menimbulkan tidak puas hati atau suasana tegang (tension) atau sikap menentang dasar dan Kerajaan. Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian. 8. Ahli politik dan pegawai Kerajaan mempunyai peranan yang amat penting di dalam pembangunan. Tindak-tanduk mereka boleh membawa kejayaan atau sebaliknya boleh menjejaskan pencapaian sesuatu dasar atau pelaksanaan sesuatu projek. Sikap mementingkan diri sendiri dan menggunakan kedudukan untuk faedah persendirian bukan sahaja merosakkan "morale" di dalam Kerajaan, tetapi juga menjatuhkan imej Kerajaan. Di samping itu sikap mengutamakan diri sendiri adalah punca penyelewengan dan rasuah. Walaupun mungkin sebilangan kecil sahaja mereka yang mengidap penyakit ini, kita terpaksa membenterasnya untuk mengelakkan akibat buruk yang lebih besar kepada usaha-usaha kita untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat. Saya harap ahli-ahli politik dan pentadbir akan melaksanakan tugas mereka di samping membantu membenteras musuh di dalam selimut ini. 9. Saya telah menyentuh masalah mementing dan mengutamakan diri sendiri oleh ahli politik dan pegawai pentadbir sebagai satu penyakit yang bukan sahaja merbahaya dan berjangkit tetapi membawa implikasi yang besar dalam konteks lain. Selain daripada memburukkan imej Kerajaan di kaca-mata rakyat, ia juga menimbulkan pergeseran dan permainan politik yang merugikan negara. Seseorang yang mempunyai penyakit seperti ini cuma berkesan dan efisyen apabila sesuatu kerja itu mendatangkan faedah kepada dirinya, tidak kira sama ada faedah itu berbentuk wang ringgit, hadiah, kedudukan dan lain-lain. Ia akan menggunakan organisasi atau sesuatu institusi untuk kepentingan dirinya, walaupun dengan demikian, pencapaian objektif organisasi atau institusi tersebut akan terjejas. Ia akan mengumpulkan anggota-anggota yang sehaluan dan bekerjasama dengan mereka yang bersifat sedemikian. Sifat seperti ini akan menjejaskan kerjasama dan usaha penyelarasan bagi menjayakan sesuatu program atau projek. 10. Kerjasama bukan sahaja diperlukan di kalangan ahli- politik, pentadbir, malahan di antara ahli politik dengan pentadbir. Janganlah hendaknya kerjasama terhalang oleh sebab tinggi-rendah taraf atau kedudukan seseorang. Begitu juga tidak harus berlaku kurang kerjasama di antara jabatan, antara ejensi dan lain-lain; harus di ingat wujudnya sesuatu jabatan atau ejensi secara khusus adalah untuk meningkatkan kemampuan Kerajaan dalam memberi perkhidmatan dan melaksanakan pembangunan. Setiap jabatan atau ejensi adalah diwujudkan untuk memberi khidmat; kesemuanya mempunyai tujuan asas yang sama dan di dalam mencapai tujuan yang sama ini mereka hendaklah bekerjasama. Sesiapa yang menimbulkan sebab-sebab remeh-temeh untuk tidak bekerjasama tidak lagi sesuai untuk berkhidmat dengan Kerajaan. Mereka harus sedar bahawa tindak-tanduk mereka lebih menjadi beban dan merugikan Kerajaan daripada memberi faedah. 11. Ahli politik dan pegawai pentadbir harus faham tentang peranan dan tugas masing-masing. Ini akan mengelakkan salah faham atau pergeseran di kalangan mereka daripada berlaku. Setiap pihak mestilah memahami hakikat dan keperluan politik serta pentadbiran dan sekiranya timbul apa-apa masalah ianya hendaklah diatasi melalui proses kerjasama dan perbincangan. Dalam hal ini, adalah penting bagi ahli-ahli politik dan juga pentadbir untuk meningkat pengetahuan dan kemahiran mereka di dalam bidang-bidang yang dapat membantu mereka memainkan peranan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan lagi. Harus diingat, kita telah sampai kepada peringkat di mana kelayakan, pengalaman, kebolehan, kejujuran dan kematangan harus digembelingkan bagi mencapai tahap yang lebih tinggi lagi dalam prestasi pembangunan negara. 12. Samada ahli politik atau pegawai pentadbir, apa yang kita perlukan pada peringkat pembangunan masa ini ialah kemampuan kepimpinan masing-masing. Seseorang pemimpin yang berkemampuan bukanlah kerana kepentingan sesuatu jawatan yang diisinya tetapi kesanggupannya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab jawatan yang diisinya dengan berani, jujur dan tegas. Oleh itu setiap ahli politik dan pentadbir mestilah mengukur kemampuan diri dengan kehendak sesuatu jawatan atau peranan. Dengan cara meningkatkan kemampuan kita sahajalah dapat kita menjadi pemimpin yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat. Dengan ini juga ahli politik dan pentadbir akan disanjung dan dihormati oleh rakyat. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 13. Saya percaya Seminar ini akan membuka peluang kepada peserta-peserta sekelian untuk meneliti masalah-masalah pembangunan, khususnya masalah-masalah yang berhubung dengan peranan ahli politik dan pentadbir. Saya harap peserta-peserta sekelian akan menggunakan forum ini untuk berbincang dengan ikhlas dan berterus terang dari hati ke diterima dan pedih dirasa jika disebut oleh orang lain, tetapi cuma kenyataan sahajalah yang dapat menjadi asas kearah kebaikan. 14. Saya sama-sama berdoa agar Seminar ini mencapai kejayaan. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Pembangunan Negeri Perak. Wabillahitaufik wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh . |