|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 1989 1989 1988 1987 1986 1985 1984 1983 1982 1981 |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUALA LUMPUR, Tarikh/Date : 17/10/81 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG PARTI PROGRESIF RAKYAT MALAYSIA (PPP) Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) kerana menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung Parti PPP ini. Saya merasa gembira dapat hadir pada hari ini serta dapat menyampaikan sepatah dua kata kepada saudara-saudara sekelian. 2. PPP telah mula bergabung dalam Barisan Nasional dalam tahun 1978. Parti ini, walaupun kecil, telah memainkan peranan yang diperlukan dalam Barisan Nasional. Sumbangan parti ini, sedikit sebanyak, telah membantu Barisan Nasional dalam melaksanakan program-program dan tindakan-tindakannya. Saudara-saudari sekelian. 3. Di antara tujuan-tujuan utama Barisan Nasional dibentuk ialah untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan dari berbagai kaum serta mendapat pandangan-pandangan mereka dalam proses mewujudkan dasar-dasar Kerajaan. Berdasarkan kepada ini, Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC telah rela berkongsi kuasa dengan parti-parti politik yang lain yang mempunyai prinsip-prinsip dan matlamat-matlamat perjuangan yang sama. Ini jelas membuktikan bahawa UMNO, MCA dan MIC tidak tamak kepada kuasa malahan sedia membentuk Kerajaan dengan parti-parti politik yang lain yang mempunyai haluan yang serupa demi kepentingan negara. 4. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat mempunyai peluang untuk memilih parti-parti politik yang mereka anggap dapat melahir dan melaksanakan dasar-dasar yang mereka persetujui pada umumnya. Apatah lagi di negara kita ini pula yang mempunyai penduduk berbilang bangsa maka sudah tentulah terdapat lebih banyak lagi parti-parti politik yang mewakili berbagai kaum, pendapat dan pandangan. Parti-parti politik ini, ada yang besar dan ada juga yang kecil, dan parti-parti politik ini dapat menjalankan kegiatan-kegiatan mereka kerana di dalam demokrasi memanglah terdapat berbagai pandangan dan pendapat. Setiap rakyat bebas untuk memilih mana-mana jua parti politik yang mereka anggap sesuai dan sealiran dengan pendapat dan hasrat mereka. Keadaan seumpama ini memanglah terdapat di negara kita ini. Inilah keadaan yang terdapat di dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Sama ada parti politik itu besar dan kuat atau pun kecil dan tidak begitu berpengaruh, namun mereka mempunyai peranan dan tugas yang tersendiri. 5. Parti-parti politik yang bergantung di dalam Barisan Nasional adalah terdiri daripada parti-parti yang mewakili berbagai-bagai kaum, berbagai-bagai pendapat dan berpendirian. Namun demikian parti-parti ini semua mempunyai satu matlamat iaitu mewujudkan sebuah negara yang lebih kukuh, lebih bersatupadu dan lebih makmur. Dilihat dari satu aspek oleh kerana Barisan Nasional ini terdiri daripada berbagai-bagai parti politik maka ini merupakan sebagai kekuatan kepada Barisan Nasional. Barisan Nasional dapat mengumpulkan pandangan dan pendapat dari sebilangan besar masyarakat di negara ini. Pendapat dan pandangan ini pada umumnya mencerminkan hasrat dan cita-cita sebahagian besar rakyat. Dalam pada itu pula penerimaan pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat ini oleh Barisan Nasional merupakan satu proses pelajaran kepadanya. Barisan Nasional sentiasa berikhtiar untuk mendapatkan kata sepakat atau consensus dan pandangan-pandangan yang diberikan oleh parti-parti komponen. Proses-proses untuk mewujudkan kata sepakat sudah semestinya memerlukan sikap tolak ansur, toleransi serta mengutamakan kepentingan parti dan negara daripada lain-lain kepentingan. Lebih-lebih lagi ia memerlukan kerjasama penuh, kejujuran, keikhlasan serta kematangan sikap pemimpin parti-parti komponen. Pada hemat saya hubungan Barisan Nasional ini jelas membuktikan bahawa Barisan Nasional adalah parti yang responsive kepada kehendak dan aspirasi rakyat. Selain daripada itu oleh kerana Barisan Nasional terdiri daripada parti-parti yang mewakili berbagai bahagian masyarakat di negara ini kita lebih memahami di antara satu sama lain dan juga kita lebih bersimpati dengan permintaan-permintaan yang menasabah yang di buat oleh mana-mana jua parti komponen. Bersimpati tidak bermakna kita bersetuju tetapi kita mempunyai sikap yang tolerance. Saya rasa inilah salah satu espek yang membuat Barisan Nasional, kuat dan tegoh. Bagi Negara kita Malaysia sokongan Barisan Nasional ini telah menghasilkan pentadbiran Kerajaan yang berkesan dan effectif. 6. Di samping itu pula dengan terdapatnya berbagai-bagai parti politik di dalam Barisan Nasional keadaan yang sedemikian boleh menjejas kedudukan parti. Kerana kita mempunyai bermacam pandangan dan pendapat yang pada masa-masa berbeza pula maka sudah tentu usaha untuk membuat atau mengambil sesuatu keputusan itu akan memakan masa yang lebih panjang lagi malahan adalah rumit. Di samping itu pula dari masa kesemasa sesebuah parti komponen akan cuba membuat dan mendapat kedudukan atau peruntukan yang lebih, sama ada dari segi meminta kerusi yang lebih semasa menghadapi pilihanraya atau pun jawatan yang ada sesudah memenangi pilihanraya. Perkara seumpama ini sering berlaku walaupun tuntutan seumpama ini tidaklah salah tetapi pemimpin-pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional mestilah ingat bahawa sebarang permintaan atau tuntutan yang dibuat mestilah menasabah supaya tidak terjejas kedudukan Barisan Nasional. Sebarang tuntutan mestilah sejajar dengan kedudukan dan kekuatan sesebuah parti itu. Tidaklah memadai, malahan tidak kena sama sekali, sekiranya sesebuah parti itu meminta sesuatu yang tidak setanding dengan kedudukan parti tersebut. Saudara-saudari sekelian. 7. Sekiranya kita melihat disekeliling kita, kita tidak dapat menafikan bahawa kita telah mencapai beberapa kejayaan. Jika kita bandingkan negara ini dengan beberapa negara yang lain, negara kita telah maju dengan pesatnya. Kita bersyukur bahawa negara kita telah dikurniakan dengan sumber-sumber semula jadi yang kaya. Dengan pentadbiran Kerajaan yang efektif serta kerjasama penuh daripada rakyat, kita telah dapat menggunakan sumber kekayaan ini dengan baik bagi kepentingan rakyat dan negara. Kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati ini adalah bokti bahawa dasar-dasar yang dijalankan oleh Kerajaan adalah sesuai dengan keadaan yang terdapat di negara ini. Kita mesti sentiasa berusaha supaya kemajuan yang kita capai baik dari segi rohani dan jasmani, dapat diterus dan ditingkatkan lagi bagi menjamin masa depan negara. 8. Sepertimana yang penah saya katakan, kemakmuran kita ini walau bagaimanapun tidak menyenangkan setengah-setengah pihak. Terdapat golongan-golongan, yang terdiri daripada orang-orang asing yang sengaja memburuk-buruk dan memperkecil-kecilkan kejayaan yang kita capai. Malahan mereka selalu benar, menerusi media-media di negara-negara barat menuduh bahawa dasar-dasar kita adalah salah kepada mereka ini. Apa yang kita buat dan usaha tidak sesuai. Kepada golongan-golongan ini juga tidak apa yang kita buat betul. Pada hemat saya, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga terhadap dakyah yang disebarkan oleh mereka. Sebenarnya pihak-pihak ini tidak senang dengan pencapaian negara kita. Mereka percaya bahawa Malaysia, pada satu hari kelak, akan menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara perindustrian yang maju. Malaysia mempunyai semua ingredients untuk mencapainya. Mungkin mereka tahu yang ini pasti kita capai dan oleh itu mereka cuba dengan cara halus atau pun dengan cara terang-terang memburuk-burukkan kita. Dengan cara ini mereka berharap negara-negara yang bersahabat dengan kita akan mula merasa ragu terhadap kita. Dengan menggunakan tektik-tektik seumpama ini mereka cuba melemahkan semangat rakyat Malaysia. Tetapi saya percaya bahawa rakyat di negara ini tidak mudah diperkecil-kecil atau dipesongkan oleh mana-mana pihak pula. Kita tetap akan berusaha untuk mencapai sepenuhnya objektif-objekti negara. Tidak siapa pun yang boleh menghalang kita. Insyaalah, kita akan mencapai kejayaan. Saudara-saudari sekelian Saya percaya perhimpunan agung parti PPP ini akan membincangkan berbagai perkara sama ada menyentuh soal parti ini dan juga perkara-perkara yang berhubung dengan masyarakat. Saya mengucapkan selamat bersidang dan berharap apabila keputusan yang diambil kelak adalah untuk kepentingan dan kebaikan kita bersama. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan perhimpunan agung PPP ini. Terima kasih. |